Wednesday, March 19, 2008
Ini merupakan ungkapan daripada member kwn aku,A Hardcore UMNO fanatik yang kecewa dgn PAK LAH...
Hari ini, saya yang selama ini menyokong UMNO dengan sepenuh jiwa raga telah mengambil keputusan bahawa saya tidak dapat lagi meneruskan sokongan saya kepada UMNO.
Sejak 1999, saya dan rakan-rakan telah berjuang dengan cara kami sendiri di alam maya ini dalam memastikan kekuatan UMNO. Tetapi hari ini, setelah barisan kabinet baru diumumkan oleh Perdana Menteri yang mana dirinya sendiri tidak diiktiraf oleh majority rakyat secara peribadi, saya tidak dapat lagi meneruskan sokongan terhadap parti keramat orang Melayu ini.
Saya menyokong UMNO selama ini bukan kerana namanya UMNO. Saya juga menyokong UMNO bukan kerana Tun Dr. Mahathir atau kerana ADUN kawasan saya. Saya juga terus menyokong UMNO pada tahun 2004 bukan kerana Abdullah Badawi. Dan lebih lagi, saya bukan menyokong UMNO kerana mendapat projek atau kontrak dari UMNO. Ini kerana saya bukan seorang kontraktor, bukan seorang peniaga dan bukannya merempat mengharap bantuan kerajaan dan UMNO untuk menyara keluarga. Saya mampu dan berkelayakan untuk bekerja dengan kebolehan dan bakat yang dikurniakan Allah kepada saya tanpa mengharap bantuan sesiapa. Saya telah bekerja di beberapa syarikat multinasional sebelum ini tanpa memerlukan orang dalam untuk memperkenalkan saya kepada sesiapa.
Sehingga kini, saya tidak pernah menerima atau mengharap apa-apa bantuan dari UMNO malah saya pernah mengeluarkan wang sendiri untuk menjayakan aktiviti-aktiviti Kelab Maya UMNO yang telah berhempas pulas mempertahankan UMNO dari serangan pembangkang di alam maya di era kegemilangan-kejatuhan Anwar Ibrahim. Semuanya saya lakukan demi kekuatan UMNO, orang Melayu dan kesejahteraan Malaysia.
Politik Melayu sebenarnya agak pelik dan lucu. Sesebuah parti politik Melayu disokong bukan semestinya kerana ideologinya atau rekod pemerintahannya. Ada yang menyokong satu-satu parti politik kerana ibu bapanya menyokong parti tersebut atau kerana semua rakan-rakannya menyokong parti tersebut.
Memang ada orang Melayu yang menyokong UMNO hanya kerana namanya UMNO.
Kerana mereka percaya UMNO itu adalah Parti yang memperjuangkan orang Melayu kerana itulah yang tertulis dalam sejarah dan itulah yang dilihat dilakukan oleh pejuang dan pemimpin UMNO sebelum ini.
Saya menyokong UMNO hanya kerana saya percaya arah tujunya tepat dan pemimpinnya berkebolehan dalam memastikan keselesaan hidup saya sekeluarga di bumi Malaysia. Kesejahteraan hidup adalah penting bagi membolehkan kita meningkatkan ekonomi, memperkasakan umat dan memastikan keselamatan terjamin.
Sebahagian dari masyarakat Melayu pula memilih untuk menyokong PAS. Ini kerana mereka percaya PAS itu adalah sinonim dengan agama Islam. Mereka percaya PAS itu memperjuangkan Islam walaupun ramai di antara penyokong kuatnya yang sanggup bergaduh dengan saya untuk menegakkan Islam melalui PAS adalah orang yang pengotor, kaki dangdut, gila perempuan, makan wang anak yatim dan bermacam-macam lagi yang mana saya sebagai Muslim yang jahil ini juga tidak sanggup untuk memikirkannya. Ada juga penganut PAS yang suka menyindir saya sebagai tidak cukup Islam tetapi di masa yang sama merupakan seorang pelanggan tetap bomoh Indonesia di kampung berdekatan. Mungkin mereka menyokong PAS hanya untuk menghalalkan cara hidup mereka, saya tidak tahu.
Saya tidak dapat menerima PAS sebagai Parti yang mampu membawa Malaysia dan Melayu ke hadapan kerana ideologinya yang tidak jelas. Pemimpin mereka sendiri masih ragu-ragu tentang Islam dan keliru samada cara hidup Taliban itu wajar atau tidak. Lebih dari itu, cakap-cakap tentang memperagakan Islam dan menunjuk-nunjuk Islam sehingga sanggup berjihad tanpa sebab hanya membawa negara ini jauh ke belakang menyamai zaman jahiliah. PAS juga sering tidak konsisten dalam meletakkan kedudukan wanita di dalam Parti, di dalam negara malah di dalam rumah juga. Ramai orang PAS yang saya kenal suka mengherdik dan menengking isteri di hadapan tetamu.
Malah ramai pemimpin PAS merupakan rakan bapa saya semasa di Universiti Al-Azhar dan saya lebih tahu betapa hipokritnya mereka apabila meletakkan pakaian (tudung) seolah-olah tuntutan tertinggi di dalam Islam sedangkan mereka tahu isteri mereka yang sama-sama belajar di Al-Azhar dan juga pensyarah wanita di Al-Azhar rata-ratanya tidak pun memakai tudung pada waktu itu. Kerana itu, PAS saya anggap sebagai Parti yang sekadar ingin menjadi hakim ke atas iman manusia lain yang mana merupakan hak mutlak Allah S.W.T. Walhal PAS hanyalah Parti yang diwujudkan oleh manusia yang inginkan kuasa tetapi tidak mampu mendapatnya melalui UMNO.
Melayu yang menyokong KeAdilan pula percaya Anwar Ibrahim telah teraniaya. Keadilan tidak punya ideologi atau perjuangan yang jelas kerana Parti ini wujud hanyalah untuk membebaskan Anwar dari segala tuduhan dan bukannya untuk rakyat Malaysia atau bangsa Melayu. Hari ini, setelah Anwar bebas, perjuangan Parti ini semakin kabur atau semakin jelas iaitu hanyalah untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri serta membalas dendam terhadap musuhnya dan tidak ada sebab lain lagi. Pendek kata, perjuangan parti ini hanyalah satu perjuangan peribadi.
Oleh itu, hanya UMNOlah yang menjadi tunjang harapan Melayu dan tunggak kerjasama antara bangsa-bangsa lain di Malaysia melalui peranannya dalam Barisan Nasional. Kerana itulah saya telah menjadi penyokong kuat UMNO selama ini dan saya percaya jika runtuh UMNO, runtuhlah Barisan Nasional. Runtuh UMNO, runtuhlah Melayu dan runtuh Barisan Nasional, runtuhlah Malaysia.
Hari ini, tunjang itu telah bukan sahaja patah, tetapi hancur berkecai. Saya tersilap bila menyangkakan masih ada harapan untuk UMNO belajar dari kesilapan empat tahun yang diterjemahkan melalui Pilihanraya 2008, rupanya sangkaan saya meleset sama sekali. Dengan barisan cabinet dapur yang baru diumumkan tadi, saya dengan ini tidak lagi menaruh apa-apa harapan atau kepercayaan lagi terhadap UMNO.
Pilihanraya untuk memilih kerajaan diadakan bagi menterjemahkan demokrasi iaitu kerajaan pilihan rakyat. Tetapi kerajaan hari ini telah sekali lagi menidakkan suara rakyat dengan enggan mengakui bahawa keputusan itu merupakan suara hati rakyat yang menunjuk protes terhadap pemimpin tertinggi. Sebaliknya, kerajaan memilih untuk mempercayai analisis yang dibuat oleh mereka sendiri kononnya rakyat masih inginkan mereka berkuasa.
Analisis siapakah yang lebih wajar dipercayai? Analisis yang dibuat oleh rakyat atau analisis yang dibuat oleh mereka sendiri? Siapakah yang lebih memahami suara rakyat, selain dari rakyat sendiri? Suara rakyat boleh didengari dengan mudah di laman-laman web, blog, komen-komen, forum dan lain-lain di dalam internet selain dari di kedai-kedai kopi. Disinilah terletaknya suara pengundi, bukan di bilik mesyuarat cabinet.
Suara siapa yang kerajaan ingin dengar? Suara pengundi yang telah dan akan mengundi atau suara menteri yang telah dan akan diundi keluar?
Hari ini, setelah barisan cabinet baru diumumkan, merupakan hari di mana UMNO telah tidak lagi relevan.
Saya kini tidak lagi menyokong UMNO tetapi tetap memilih Laman Kelab Menyokong UMNO ini sebagai tempat bersuara kerana saya percaya laman ini yang diusahakan oleh rakan-rakan pejuang yang paling saya percayai adalah merupakan laman yang cukup berwibawa dalam menengahkan suara hati rakyat. Pejuang-pejuang di laman ini saya anggap sebagai barisan terakhir (the last frontier) pertahanan UMNO kerana merekalah lambang pejuang tulin yang tidak pernah mengharap atau mendapat apa-apa balasan. Jika para pejuang laman ini juga telah beralih arah...maka disitulah berakhirnya nafas UMNO dan seterusnya Barisan Nasional (mana-mana dahulu).
Jika difikirkan kembali masak-masak, sebenarnya untuk menunaikan kehendak rakyat bukannya susah. Kami bukan meminta projek atau kontrak atau peluang perniagaan atau jawatan atau kerja atau surat sokongan dari para pemimpin UMNO. Permintaan kami hanya satu iaitu agar Perdana Menteri meletakkan jawatannya seberapa segera. Kedegilannya akan menghancurkan Barisan Nasional yang merupakan tunggak kekuatan Malaysia.
UMNO hari ini, bukan lagi UMNO yang saya kenal. Oleh itu, selamat tinggal UMNO.
aku pun dah lama tak kait dgn UMNO.count me in bro!!
Labels: letter of disgrace, malaysia, members of UMNO, POST-ELECTION DRAMA, THOUGHTS, UMNO, UPDATE